Kerajaan isytihar 2017 tahun TVET – Riot

RIOT: Kerajaan telah mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun TVET dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.Kerajaan isytihar 2017 tahun TVET - Riot

SHAH ALAM: Kerajaan telah mengisytiharkan 2017 sebagai Tahun Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata inisiatif itu juga seiring dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 bahawa keupayaan TVET akan dipertingkatkan di bawah bajet tersebut.

“Walaupun perkara ini tidak diumumkan secara rasmi sebelum ini, kalau kita nampak pada ucapan Najib dalam Bajet 2017 tempoh hari, perkataan TVET ditekankan.

“Ini bermakna, dengan penekanan ini, secara langsung dan tidak langsung, TVET menjadi permulaan kepada usaha kerajaan untuk lebih gigih dalam melahirkan ramai modal insan berkemahiran,” katanya pada sidang media selepas penyerahan akreditasi kepada Proton Holdings Berhad sebagai pusat sehenti untuk program Sistem Latihan Dual Nasional, di sini pada Khamis.

Riot berkata untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, tenaga kerja berkemahiran tinggi diperlukan dan setakat ini hanya 28 peratus modal insan Malaysia merupakan pekerja berkemahiran dan kerajaan menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 35 peratus menjelang 2020.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Majlis Ekonomi Negara telah meluluskan cadangan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) bagi membantu pekerja yang diberhentikan dan usul akan dibentang di Parlimen pada Januari 2018.

Sebelum ini, menteri itu dilapor berkata skim yang memperuntukkan sumbangan majikan dan pekerja itu amat penting untuk memastikan pekerja yang diberhentikan mampu menyara hidup sekurang-kurangnya selama empat bulan sebelum mendapat pekerjaan baharu.

Terdahulu, Riot menyampaikan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia kepada 30 penerima selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Proton dan Jabatan kemahiran Malaysia bagi program pembangunan jangka panjang pekerja berkemahiran.

Pada majlis itu, 27 individu menerima biasiswa Yayasan Proton untuk menyambung pendidikan peringkat Sijil Kemahiran malaysia.

– BERNAMA

PINDAAN PENGUATKUASAAN PROSES BAHARU PENDAFTARAN PELATIH 2016 PERSIJILAN KEMAHIRAN MALAYSIA

Ruj : JPK/700/43/1 ( 15 )
Tarikh : 15 Dis 2016

Salam Sejahtera dan Salam 1 Kemahiran, Adalah dimaklumkan merujuk kepada hebahan pemakluman penguatkuasaan proses baharu pendaftaran pelatih 2016 Persijilan Kemahiran Malaysia dengan rujukan JPK/700/43/1 (6) bertarikh 28 Julai 2016 (Baca artikel di bawah), JPK telah memutuskan penguatkuasaan sepenuhnya akan bermula 1 Jan 2018. Namun begitu pelaksanaan pendaftaran empat(4) kali setahun berkuatkuasa 1 Jan 2017.

Sekian terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi”

Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Kemahiran
Kementerian Sumber Manusia

Ruj : JPK/700/43/1 ( 6 )
Tarikh : 28 Julai 2016

Salam Sejahtera dan Salam 1 Kemahiran,

Adalah dimaklumkan Jabatan telah memutuskan beberapa perkara berkaitan proses baharu pendaftaran pelatih Persijilan Kemahiran Malaysia seperti maklumat berikut:

1. Pendaftaran pelatih empat (4) kali setahun

1.1. Pendaftaran pelatih hanya dibenarkan dalam tempoh yang telah ditetapkan seperti Jadual 1.

Jadual 1: Penjadualan Pendaftaran Pelatih.

 Pendaftaran Pelatih di JPK  Pendaftaran di PTPK
 1 Januari- 28 Februari  1 Februari- 15 Mac
  April – 31 Mei  1 Mei-15 Jun
 1 Julai – 31 Ogos  1 Ogos- 15 September
 1 Oktober – 30 November  1 November-15 Disember

1.2. Kaedah baru ini akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2017.
1.3. Pusat Bertauliah (PB) perlu memastikan pendaftaran pelatih hanya dibuat sekali dalam tempoh seperti ditetapkan dalam Jadual 1 bagi memastikan nisbah Pegawai Penilai (PP) adalah mencukupi dan memudahkan PB mengatur jadual latihan bagi kumpulan pelatih tersebut.

2. Pendaftaran pelatih dalam tempoh peralihan (sebelum 31 Dis 2016)

2.1. PB hendaklah mengemukakan permohonan pendaftaran pelatih dengan mengemukakan dokumen proses baharu pendaftaran pelatih.
2.2. Sekiranya bilangan pelatih yang hendak didaftarkan melebihi kapasiti sedia ada yang diluluskan, PB perlu mengemukakan dokumen sokongan dan komitmen seperti penjadualan PP, jadual penggunaan bengkel dan peralatan latihan serta kemudahan fizikal bagi pertimbangan Jabatan.
3. Penguatkuasaan Proses Baharu Pendaftaran dan Kapasiti Pelatih

3.1. Mulai 1 Jan 2017, semua PB hanya boleh mendaftarkan pelatih mengikut kapasiti yang telah diluluskan oleh Jabatan.
3.2. Mengikut peruntukan Akta 652, Seksyen 23, Bahagian 23, PB perlu menyediakan personel dan kelengkapan serta kemudahan peralatan yang mencukupi bagi tujuan pelaksanaan latihan kemahiran bagi memenuhi ketetapan jaminan kualiti di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).
3.3. Kapasiti pelatih bermaksud bilangan pelatih yang telah diluluskan oleh JPK berdasarkan kepada dua (2) kriteria utama iaitu keupayaan PB menyediakan bilangan personel Pegawai Penilai (PP) dan kemudahan fizikal/mesin dan kemudahan lain-lain yang mencukupi. Secara prinsipnya, nisbah PP kepada pelatih ialah 1 PP:25 pelatih.
3.4. PB hendaklah memohon kelulusan JPK bagi tujuan penambahan kapasiti terlebih dahulu sebelum pendaftaran dengan mengemukakan maklumat seperti berikut:

i. Surat iringan permohonan;
ii. Borang penambahan kapasiti pelatih [JPK/T/KAPPK/01(P1)]
iii. Maklumat personel pentauliahan;
iv. Kemudahan fizikal; dan
v. Maklumat-maklumat lain yang menyokong permohonan.

3.5. Permohonan penambahan kapasiti pelatih hendaklah dikemukakan ke alamat berikut:

Ketua Pengarah
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
Kementerian Sumber Manusia
Aras 8, Blok D4, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62530 Putrajaya
(u/p: Pengarah MOSQ)

4. Kadar Fi dan Caj bagi permohonan penambahan kapasiti.

Bermula 1 Julai 2016, semua permohonan penambahan kapasiti pelatih dikenakan bayaran RM 200 setiap program melalui pewartaan Peraturan-Peraturan Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Fi Dan Caj) 2016 di Laman Portal Rasmi Jabatan Pembangunan Kemahiran pada 8 Jun 2016.

Sekian terima kasih.