Program PVMA bantu selesai isu pelajar tercicir

SHAH ALAM – Pandangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim terhadap isu pelajar tercicir atau pelajar bermasalah boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik.

Sebaliknya menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak ILKS Bumiputera, Nordin Abdul Malek, masalah pelajar tercicir mungkin dapat diatasi dengan kelas pemulihan atau kelas kemahiran di sekolah.

“Pihak kami menghormati pandangan banyak pihak terhadap isu ini. Bagaimanapun saya lihat tidak ada penyelesaian terbaik yang disuarakan oleh kerajaan.

“Pada pandangan kami, isu pelajar tercicir sepatutnya sudah ada penyelesaian.Pelajar yang bermasalah atau tidak minat untuk mengikuti  kelas kemahiran, yang mana ia diisi dengan aktiviti yang boleh membimbing semula mereka,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya bekerjasama dengan pengusaha pusat latihan kemahiran bumiputera yang menguruskan Program Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kami berpengalaman lebih 20 tahun untuk menguruskan pelajar seperti ini dan kami mengambil pelajar mengikuti program kemahiran seawal tingkatan empat.

“Kami tawarkan kepada remaja atau pelajar yang kebanyakannya tidak berminat untuk mengikuti pembelajaran akademik,” jelasnya.

Kelmarin, Kementerian KPWKM  mencadangkan hukuman buang sekolah digantikan dengan kelas pemulihan atau peralihan untuk pelajar bermasalah yang diisi dengan aktiviti yang boleh membimbing semula mereka.

Rohani menyarankan Kementerian Pendidikan menimbang  semula hukuman buang sekolah itu memandangkan kebanyakan pelajar yang dibuang sekolah lebih terdedah untuk bergaul dengan golongan yang salah dan terlibat dengan jenayah.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kaji semula hukuman buang sekolah]

Menurutnya lagi, program itu mampu meringankan bebanan guru dalam mengawal selia pelajar di sekolah.

“Setiap sekolah ada kelompok yang dianggap berisiko tinggi yang tidak berminat untuk meneruskan sesi pembelajaran. Mereka mempunyai sikap yang mengganggu keharmonian sekolah.

“Beban guru sudah terlalu tinggi. Mereka perlu fokus kepada pelajar yang mahu meneruskan pengajian dan dalam masa sama mereka perlu menumpukan perhatian kepada kelompok pelajar berisiko tinggi ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu jawatan kuasa ditubuhkan kementerian bagi menangani masalah tersebut.

“Saya cadangkan tubuhkan task force dan jemput kami sebagai ahli jawatan kuasa memandangkan kami mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam menguruskan kelompok pelajar tercicir,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian

Ulasan: Pelajar PVMA lazimnya tiada 5 kredit, jadi, boleh mohon sambung belajar di pusat latihan kemahiran di Pusat Bertauliah JPK, boleh cari di sini