Kementerian tutup pusat tauliah swasta?

Nordin Abdul Malek

Nordin Abdul Malek

IPOH – Kementerian Sumber Manusia dilihat seolah-oleh mahu menutup semua pusat latihan kemahiran bertauliah swasta dengan memberikan pelbagai tekanan kepada pengusahanya.

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILBKS), Nordin Abdul Malek berkata, dianggarkan sebanyak 600 pusat latihan ini bakal gulung tikar selepas kementerian mengenakan pelbagai syarat baharu yang ketat.

Menurutnya, malah ada peraturan yang ditetapkan itu langsung tidak masuk akal.

“Sejak PH memerintah, terdapat banyak pekeliling bersifat tidak mesra perniagaan dengan mengeluarkan pelbagai pekeliling yang merumitkan lagi perjalanan latihan seperti penamatan program lulus bersyarat mulai Januari 2019 dan pembekuan permohonan penyedia latihan pegawai pengajar vokasional (VTO) yang boleh menjejaskan usaha pusat latihan untuk mematuhi pentauliahan Pusat Bertauliah Swasta (PBS).

“Terbaharu pula, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mengenakan syarat tambahan yang dianggap tidak munasabah iaitu mewajibkan semua PBS mendapatkan surat jaminan majikan bagi setiap pelatih untuk mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat latihan,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, banyak pihak melihat arahan itu pelik kerana tiada negara di dunia yang meminta institusi pendidikan untuk menyediakan dokumen jaminan pekerjaan daripada majikan kepada pelajar mereka.

Nordin berkata, GILKSB turut menerima rungutan daripada PBS dan pihak-pihak berkepentingan bahawa dana Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) gagal berfungsi sehingga menjejaskan pelbagai bayaran berkaitan.

Malah katanya, pengagihan kuota pinjaman pelatih baru-baru ini menimbulkan persoalan kerana kegagalan kementerian sendiri untuk merancang latihan mengikut sektor yang berpotensi tinggi seperti penerbangan, pertanian dan automasi gagal dibiayai kerana isu-isu bersifat birokrasi.

“Kerajaan harus ingat bahawa usaha menutup 600 PBS ini akan menyebabkan akses latihan semakin menguncup kerana tidak semua keperluan latihan mampu dilaksanakan sendiri oleh kerajaan.

“Malah negara kehilangan tenaga perkhidmatan kemahiran sektor swasta seperti tenaga pengajar berkemahiran dan berpengalaman, peluang pekerjaan kepada puluhan ribu pekerja sektor PBS serta impak nilai ekonomi berganda, kesan kewujudan sesebuah PBS di sesuatu kawasan,” katanya.

Nordin berkata, pihaknya berpandangan kelemahan itu berpunca daripada  kepimpinan kementerian yang tidak berpengalaman dalam bidang berkaitan dan tidak mesra pelanggan.

Katanya, sehingga kini tiada pertemuan serius diadakan antara persatuan-persatuan dan pemilik-pemilik PBS dengan menteri, mahupun timbalan menteri.

Beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan usaha menyedarkan semua pihak terhadap kepincangan pelaksanaan pendidikan kemahiran dan vokasional (TVET) dari peringkat sekolah, PBS hinggalah peringkat IPT bersama-sama gabungan persatuan-persatuan berkaitan seluruh negara supaya isu-isu TVET yang semakin parah diselesaikan segera.

Sumber: Sinar Harian, Nasional – 13/9/18

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *