Lebih 80 peratus pengasuh berdaftar tiada kelayakan KAP

Lebih 80 peratus pengasuh berdaftar tiada kelayakan KAP
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Hari Taska 2018 di Putrajaya, hari ini. – Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Seramai 13,700 pengasuh berdaftar di taska seluruh negara tidak mempunyai kelayakan minumum Kursus Asuhan Permata (KAP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jumlah itu merangkumi 80.19 peratus daripada sejumlah 16,873 pengasuh yang direkodkan.

“Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), data terkumpul sehingga Jun 2018, jumlah pengasuh bagi kanak-kanak berusia 0 hingga 4 tahun di Taska adalah seramai 16,873 orang.

“Daripada jumlah ini, 3,173 orang atau 18.81 peratus pengasuh mempunyai kelayakan minimum iaitu lulus KAP, selebihnya 13,700 atau 80.19 peratus pengasuh masih tidak memenuhi kelayakan ini,” katanya semasa berucap melancarkan Sambutan Hari Taska Peringkat Kebangsaan 2018 di IoI City Mall di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga menambah, industri pengasuhan pada ketika ini menghadapi masalah kekurangan pengasuh berdaftar.

Pada masa sama, kekurangan pengasuh yang berkelayakan memberi implikasi kepada jumlah taska yang berdaftar.

Katanya lagi, sekiranya 50 peratus daripada 2.3 juta kanak-kanak berusia 0 hingga 4 tahun di negara ini memerlukan taska, maka Malaysia perlu menyediakan kira-kira 38,333 taska.

Bagaimanapun, angka itu jauh berbeza dengan sejumlah 4,302 taska berdaftar ketika ini.

“Bilangan ini menunjukkan kekurangan yang amat jelas dari aspek keperluan dan ketersediaan taska di negara kita. Kekurangan bilangan pengasuh berkelayakan dan bilangan taska berdaftar akan memberi implikasi terhadap jaminan kualiti dan keselamatan anak-anak kita,” tambahnya lagi.

Sumber: http://www.astroawani.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *