Tag Archives: Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET)

Insentif TVET RM500

Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan kepada Kabinet cadangan pemberian insentif RM500 sebulan seperti di Singapura kepada pekerja tempatan yang mahu menambah kemahiran dalam bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). – NSTP/Sairien Nafis

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Suhaila Shahrul Annuarbhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Sejajar usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi, Kementerian Sumber Manusia mencadangkan pemberian insentif kepada pekerja tempatan yang mahu menambah kemahiran menerusi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kertas kerja bagi pemberian insentif khas berkenaan sedang disediakan kementerian sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata pihaknya mengambil contoh Singapura dan beberapa negara lain yang memberikan setiap pekerja insentif dalam lingkungan RM500 sebulan jika mereka mendalami bidang kemahiran.

“Saya memberi contoh, anda bekerja sebagai pemberita, hendak sambung belajar kemahiran lain selepas waktu kerja, bolehlah pergi belajar.

“Mungkin tiada wang untuk bayar yuran, jadi kita sediakan insentif dari institusi tertentu atau daripada sumbangan anda (pekerja) kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), jadi kita gunakan dana itu,” katanya dalam satu temubual dengan BH di pejabatnya di sini, pada Selasa.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran. – NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kulasegaran percaya pemberian insentif itu antara langkah mencapai sasaran kerajaan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) bagi melahirkan 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

“Sekarang pekerja berkemahiran dalam negara ada dalam lingkungan 28 peratus, dan ini masih jauh berbanding sasaran itu.

“Kalau banding dengan negara maju seperti Singapura, mereka mempunyai kadar 55 peratus pekerja berkemahiran.

“Jadi, kenapa kita perlu ada pekerja berkemahiran, sebabnya dengan ada kemahiran gaji diperoleh lumayan, produktiviti akan tinggi dan meningkatkan mobiliti dalam memperkasa pekerja.

“Ini yang kita sedang difikirkan apa yang boleh kerajaan lakukan supaya setiap pekerja tempatan dalam negara boleh dapatkan kemahiran dan TVET memainkan peranan itu,’ katanya.

Selain itu, katanya, pemikiran baharu perlu diterapkan supaya pelajar menjadikan bidang TVET sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pelajaran.

“Malah bagi kementerian sendiri, di institusi latihan sedia ada kita mempunyai 16,000 penuntut bidang kemahiran tahun lalu dan jumlah ini meningkat kepada 18,000 penuntut tahun ini.

Kementerian masih menyediakan kertas kerja bagi pemberian insentif khas untuk pekerja mengikuti latihan TVET.

“Dengan trend ini, kita yakin tidak ada masalah untuk mencapai sasaran 23,000 penuntut TVET tahun hadapan.

“Kalau kita lihat negara maju seperti Switzerland, Jerman, Korea Selatan, Taiwan dan Jepun, di sana selepas menamatkan pelajaran, 60 peratus golongan mudanya melanjutkan pengajian dalam TVET dan bukannya akademik. Walaupun akademik mustahak, tapi bezanya sekarang perlu ada sokongan dengan TVET,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan menyeru ibu bapa lebih memahami perubahan semasa berbanding zaman dahulu yang lebih memberi tumpuan kepada akademik dan menjadikan TVET pilihan kedua atau terakhir.

Tambahnya, kementerian juga akan turun padang ke segenap pelusuk, termasuk kampung dan pedalaman bagi bertemu generasi muda dan mereka yang sudah berusia bagi menerangkan kelebihan bidang TVET.

Sumber: https://www.bharian.com.my/

Komen:
1. Harap mekanisma pemberian insentif RM500 ni tidak disalahguna dan hanya terhad kepada pilihan belajar di Pusat Latihan Awam sahaja.
2. Bidang TVET sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pelajaran
sememangnya adalah pilihan bijak. Sekiranya masih teringin sangat meneruskan sehingga mendapat Diploma/Ijazah Sarjana Muda dari Universiti, sekarang dah ada haluannya, samada bidang teknikal di 4 Universtiti Teknikal Tempatan (MTUN) ataupun bidang pengurusan industri di Universiti Tun Abdul Razak di Jalan Tun Razak, KL.