Tag Archives: Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT)

Industri, majikan boleh bantu perkasa TVET

Mohammad Rizan Hassan

SHAH ALAM – Industri berkaitan atau majikan boleh membantu memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan membayar pinjaman latihan kemahiran lulusan sistem pendidikan berkenaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, cadangan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Ia boleh dikurangkan apabila industri atau majikan bersedia mengalihkan bayaran levi pekerja asing dengan membayarkan pinjaman latihan kemahiran lulusan TVET.

“Contohnya, levi pekerja asing bagi sektor perkilangan adalah RM1,850 setahun boleh dipindahkan kepada bayar pinjaman lulusan TVET,” katanya mengulas harapan sempena Bajet 2019 yang bakal dibentangkan Jumaat ini.

Mohammad Rizan berkata, dengan cara itu, semua pihak termasuk majikan, pekerja dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menerima manfaat masing-masing.

“Majikan membantu kesejahteraan ekonomi pekerja, penajaan dan ikatan kontrak untuk suatu tempoh yang dipersetujui dengan pekerja.

“Pada masa sama, pekerja juga tidak terbeban dengan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran, jaminan peluang penempatan pekerjaan dan mendapat persijilan dari kemahiran diterima, manakala PTPK mempunyai dana yang cukup melalui pembayaran balik yang cepat dalam tempoh singkat,” katanya.

Beliau berkata, TVET di Malaysia memerlukan satu kerangka hala tuju yang baharu dan jelas serta dikuatkuasa serta-merta, dengan satu badan akreditasi latihan iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan satu badan pengiktirafan profesional, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

“Selain itu, kaedah ‘apprenticeship’ yang diterajui industri perlu digerakkan berskala besar dan bersifat mesra kepada industri dengan mengurangkan karenah birokrasi di pihak kerajaan dalam aspek urus tadbir dan penyampaian latihan,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan mempertimbangkan dana bantuan pinjaman latihan kemahiran di bawah PTPK ditingkatkan kepada RM1 bilion setahun, dengan 80 peratus daripada jumlah itu difokuskan kepada lepasan sekolah menengah.

“Tiada lagi ‘double-standard’ di antara institusi awam dan swasta di mana semua pelajar aliran TVET hendaklah membuat pinjaman dari PTPK dan bukan lagi percuma bagi sesetengah institusi kemahiran awam,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar penyampaian latihan TVET melibatkan kerjasama awam-swasta terutama bagi bidang kemahiran yang memerlukan pelaburan sederhana dan ke bawah.

“Manakala bidang kemahiran berteknologi dilaksanakan oleh institusi awam,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my